Saturday, 9 March 2013

Hikmah

Sahabat sekalian,
Manusia biasa sekadar mencari rezeki yang 'banyak', sedangkan manusia beriman mencari lebih daripada itu.
Ia mencari yang more than meets the eye.
Ia mencari 'hikmah' dan 'barokah'.


Kerana imannya kepada Allah, qada' dan qadar, serta hari akhirat, manusia beriman sedar bahawa hakikat hidup di dunia hanya sementara. Dan dalam kehidupan yang sementara itu, ia sedar akan datangnya ujian-ujian daripada Allah demi menguji keimanannya.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman,' sedangkan mereka tidak diuji?" (Al-Ankabut [29]: 2)
Dan ia yakin, bahawa dengan ia sabar, redha, bahkan bersyukur dengan ujian yang menimpa, maka bertambahlah imannya, hatta semakin rapatlah ia kepada Tuhannya.

Ia serba tahu, bahawa yang paling utama dalam kehidupan ialah redha daripada Tuhannya. Dan dengan redha daripada Tuhannya, tiada apa yang mampu meng-'down'-kan ia.


Maka usah lama bergelumang dalam kesedihan wahai sahabat, kerana jika benar kita beriman, sewajarnya kita mampu melihat bahagia meskipun di dalam derita.
"Dan janganlah kamu berasa lemah, dan janganlah pula bersedih hati, kerana kamulah yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu beriman." (Ali Imran [3]: 139) 
[Klik gambar untuk view lebih jelas]
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah [2]: 216)
Kerana jika benar kita beriman, kita wajar melihat hikmah.
Dan dengan hikmah itu, kita mampu mengejar barokah.
Insya-Allah :)

Friday, 15 February 2013

Usah Gusar, Teruskan Melangkah!

Bismillah. 
Salam alaik.

Pejam celik pejam celik, malam berganti siang, siang berganti malam, begitu pantas masa berlalu. Buat sahabat-sahabat Medden 2nd year, semakin hampir kita menuju satu lagi ujian dunia, iaitu Selanjar 1 (dengan izin-Nya). Maka, manfaatkanlah masa yang ada sebaiknya kerana Allah telah bersumpah dengan masa, yang bermaksud,

" Demi Masa! Sesungguhnya manusia kerugian. Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh. "
(Surah Al-Asr : 1-3)



Tidak dinafikan, dalam kesuntukan masa yang tersisa, pasti ada masanya kita berasa lemah dan ingin sahaja berputus asa. Tetapi tidak, sahabatku. Janganlah engkau berbuat sedemikian kerana Allah berfirman, maksudnya,

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir. " 
(Surah Yusuf : 87)

  
 Andai terasa satu kesempitan dan kepayahan bakal menimpa, usah gusar! Allah telah menyelamatkan dirimu dari bencana pada hari kelmarin. Sudah pasti, Allah jugalah yg akan menyelamatkanmu dari bencana pada hari esok.

“ Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
(Surah al-Insyirah: 5-6)

Andai terasa kesempitan terus menyempitkan ruang fikiran dan jiwa, usah gusar! Dunia ini bukanlah apa-apa melainkan sebuah perjalanan menuju ke akhirat semata-mata. Hidup ini bagaikan mimpi dan kita akan tersedar pada Hari Kebangkitan kelak.

Segala kepayahan itu akan hilang beransur dengaan masa. Apa yang penting, lakukanlah yang terbaik dan mohonlah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah yang Maha Esa. Tunduklah kepada-Nya dgn serendah-rendahnya dan merayulah kepadaNya dengan tangisan setulusnya.


"Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kepadaku, nescaya akan ku perkenankan doamu..." 
(Surah Al-Ghafir : 60) 
 
Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yg berharap kepadaNya semata-mata melalui kepayahan dan keperitan dgn sia-sia tanpa pertolonganNya walau secebis. 

"...Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."
(Surah Al-Baqarah : 214)
Serahkanlah urusan itu kepadaNya setelah berusaha dengan banyaknya. Percayalah, dirimu tidak akan rugi sedikitpun malah semakin kukuh kepercayaanmu itu kepada-Nya setelah datangnya pertolongan di saat kesulitan. Senyumlah dan usahlah gusar! 
Dan yang PALING PENTING sekali, berusaha dan berkerjalah dengan niat kerana ALLAH. Supaya tak mudah lelah dan berbaloi-baloi! :D
 
 
 

Ingatlah dan yakinlah bahawa sesungguhnya janji Allah itu pasti.
Bittawfiq wannajah fil imtihan! 
Wallahua'lam. 


**credits : http://www.aishaardini.com/2011/12/artikel-motivasi-usirkanlah-kegusaran.html, 
http://mr-iq.blogspot.com/2012/07/komik-susah-susah.html


Thursday, 7 February 2013

Usaha eskelator kejayaan??

Bismillah.
   

Alhamdulillah, puji-pujian dan puja-pujaan hanya selayaknya bagi Allah swt, Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam.
Firman Allah swt;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mana mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”
[13:11]

Ikhwah wa Akhowat fillah,
 Di antara ayat-ayat chentaNya, Allah swt telah menerangkan bertapa manusia itu sebenarnya akan mendapat sesuai dengan apa yang diusahakannya. Sekiranya dia mengusahakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan betul caranya, maka hasilnya adalah sesuai dengan apa yang diusahakannya. Dan begitu juga dengan sebaliknya.



  Tetapi, ramai yang tersalah anggap konsep sebenar usaha dalam Islam. Ini mungkin berkait-rapat dengan bagaimana mereka mendefinisikan konsep kejayaan itu sendiri. Ada orang meletakkan definisi kejayaan itu apabila memiliki kekayaan yang melimpah-ruah. Ada yang mendefinisikan dirinya telah berjaya apabila mendapat apa yang diingininya. Ada pula yang mendefinisikan kejayaan apabila dapat melakukan suatu perkara yang menyenangkan hati dan nafsunya. Hakikatnya, itu bukanlah suatu kejayaan. Bahkan ianya adalah suatu ujian kehidupan. Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita… Allah baru menguji kita. Begitu juga apabila Allah berikan kemiskinan buat kita… itu bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita tetapi sebaliknya Allah sedang menguji kita. Bukan itu sahaja, apabila Allah kurniakan kuasa, menarik kuasa, rupa yang cantik, rupa yang buruk, ternama atau biasa-biasa sahaja, semuanya ujian untuk kita.

    Ujian samada kita mengingatiNya atau tidak, mengingatiNya atau tidak dalam apa-apa kondisi yang telah diaturkannya. Justeru, yang menentukan suatu kejayaan  bukan situasi tetapi respons hati mereka ketika menghadapi  situasi itu.

   Tetapi kalau mereka miskin kerana malas, tidak gigih mencari ilmu, menambah kemahiran  dan ilmu... lalu mereka sabar, apakah itu juga boleh dikatakan berjaya??
Sebenarnya, orang malas bukan orang yang ingat Allah. Sabar itu bukan pasif dan tidak produktif. Sabar itu aktif dan produktif.  Orang yang ingat Allah, akan ingat akhirat. Orang yang ingat akhirat akan sentiasa sibuk di dunia”
    Islam telah memberikan suatu definisi yang cukup jelas tentang konsep kejayaan. 

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. [3:185]

 Nah, suatu definisi yang jelas bahawa kejayaan seseorang itu diukur melalui keadaannya ketika akhirat. Bagaimana kondisinya, samada dia tergolong diantara orang-orang yang muqarrabun (dekat) dan golongan maimanah (kanan) yang dijanjikan oleh Allah swt seribu macam kesenangan di sorgaNya, atau (nau'zubillah) kita akan tergolong dalam golongan mashamah (kiri) yang telah disediakan baginya seribu macam azab yang pedih seperti mana yang tergambar dalam al-Quran??!!
(ruj: Surah al-Waqiah)



                                           

  Namun begitu, walaupun Islam telah meletakkan definisi kejayaan itu sebagai suatu yang bersifat ukhrawi, tidak bermakna Islam menyuruh kita untuk bersifat sambil lewa terhadap urusan dunia kita kerana kejayaan kita di dunia merupakan suatu refleksi terhadap kejayaan kita di akhirat kelak. Bukankah sifat orang mukmin itu berjaya??
"Sesungguhnya, telah berjaya orang-orang yang beriman" [23:1]
Ikhwah wa Akhowat fillah,
   Telah berkata Imam Syafi'e ; 'Dunia itu, adalah tanaman untuk negeri Akhirat'. Maksudnya, jika kita hendak menikmati buah yang manis di akhirat, mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur. Maksudnya, di dunia lagi hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat nanti kita akan cemerlang. Ya, kerana dia sedar dia hendak menuai di akhirat, jadi sibuklah dia menanam di dunia. Dunia ini jadi kebunnya… Lihat orang berkebun, dia akan  sibuk menebas, menggempur, menyemai benih, memberi baja, mengairi, menjaga tanamannya dari serangga dan macam-macam lagi. Usahanya tentu sekali akan menghasilkan pohon-pohon yang baik dan berkualiti, yang lanjutnya tentu sekali akan menghasilkan buah yang manis dan berkualiti. Begitulah orang yang hendak menuai di akhirat, akan sibuk di dunia.


Jadi, apabila kita telah memahami konsep kejayaan yang sebenar dalam Islam, seharusnya akan memudahkan kita untuk memahami konsep sebenar usaha mengikut Islam.

1) Orang mukmin yang berjaya itu adalah mereka yang menjaga hubungan 'vertical'nya (hubungan dengan Allah) dan hubungan 'horizontal'nya (hubungan sesama manusia). Dan sifat ini hanya terdapat dalam diri seorang mukmin.

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]

2) .Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.



"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]

3) Antara lain sifat orang-orang mukmin adalah bersungguh-sungguh dan komited dalam melakukan suatu perkara.


Sesungguhnya Allah suka kepada seseorang kamu yang apabila melakukan sesuatu kerja maka dilakukannya dengan bersungguh-sungguh (itqan). (al-Hadith)
 'Kalau dengar langit hendak runtuh (kiamat) tetapi di tangan masih ada benih (tanaman), maka tanamlah benih itu' (a-Hadith)

4) Mukmin itu, sifatnya juga berstratergi.


"Perkara yang haq(benar) yang tidak mempunyai perancangan, akan ditumpaskan oleh perkara batil (palsu) yang terancang." 
(Saidina Ali r.a.)

5)Mempunyai keghairahan untuk memberi.

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain." (HR al-Baihaqi)

6) Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]

7) Jujur, amanah

" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]

8) .Tepati waktu

"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]
Al-hasil, mereka-mereka yang bersifat dengan sifat-sifat orang mukmin itu, telah dijanjikan oleh Allah swt bahawa mereka akan memperoleh syurga Firdaus seperti mana yang tercatat dalam surah al-Mukminun:10-11.

Ikhwah wa Akhowat fillah,
   Tuntasnya, saya ingin mengajak diri saya dan sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita me'reset' semula makna kejayaan yang sebenarnya berlandaskan apa yang telah disyariatkan oleh Allah swt. Juga sama-sama kita merefleksi, adakah kita telah mencorakkan warna-warna kehidupan kita sesuai dengan apa yang telah disarankan oleh Allah dan RasulNya.

"There's never too old to learn..There's never too late to turn"
(Johann Guternberg)




SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SELANJAR I BUAT SAHABAT MEDDEN 2!!
BUAT SAHABAT DI MEDDEN I, SEMOGA TERUS KONSISTEN DAN MEMPEROLEH KEPUTUSAN YANG CEMERLANG!!

Biidznillah!! :)
    


Thursday, 31 January 2013

'Heart' Wash

Peristiwa isra' mikraj membuktikan kepentingan ibadah solat. Sebagai satu-satunya wahyu yang memerlukan Rasulullah s.a.w. untuk naik ke langit menghadap Allah, siapakah lagi yang berani membantah akan kepentingan solat? Selain menjadi pembeza antara seorang Muslim dengan seorang Kafir, solat juga menjadi sumber motivasi berterusan bagi orang-orang yang beriman.


Ikhwah wa akhwat fillah,
Sehebat mana pun kita, setiap hari kita tempuhi dengan melakukan pelbagai kesilapan baru. Cuma, yang membezakan insan berjaya dengan yang gagal, ialah insan berjaya memperbaik diri dengan mengambil ibrah daripada kesilapan.

Kita sendiri serba tahu tentang prosedur mendekati pesakit. Every medical student knows that our environment especially the hospital is infested with various microorganisms, hence it is crucial for us to wash our hands before and after visiting the patients. Membasuh tangan dengan tujuan membersihkan tangan daripada segala mikroorganisme yang terlekat pada tangan kita sebelum ia mampu untuk lebih memudaratkan.

Maka perkara yang sama perlu kita lakukan untuk qalbu. Selaku raja dalam diri seseorang, segala kekotoran dan dosa sudah semestinya should not be tolerated! Jika tangan sahaja kita basuh berkali-kali, apatah lagi qalbu yang mengawal niat dan menentukan tindak-tanduk kita!

Firman Allah dalam surah Hud yang bermaksud,
"Dan dirikanlah solat pada kedua hujung siang dan pada permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang mengingati (Allah).
Dan bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan." (Surah Hud 11: 114-115)
Nah, kita selaku insan yang sering leka dan melakukan keburukan sama ada sengaja mahupun tidak sengaja, sudah semestinya kita memerlukan 'basuhan' untuk qalbu agar tidak terus menjadi kotor. Maka Allah memberikan caranya, agar qalbu kita sentiasa bersih dan performance sentiasa terjaga: SOLAT.


Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Bagaimana pendapat kalian, apabila di depan pintu salah seorang daripada kalian terdapat sebuah sungai yang melimpah airnya. Dia mandi di dalamnya setiap hari lima kali, apakah masih ada kotoran yang tersisa?" Para sahabat menjawab: "Tidak wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Begitu juga dengan solat lima waktu, dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan." (HR Bukhari & Muslim)


Namun menjadi keraguan kepada sesetengah Muslim apabila merasakan bahawa solat isn't really capable of mencegah perbuatan keji dan mungkar (surah Al-Ankabut 29: 45). Their claim is, "banyak je orang solat tapi still buat jahat."

Now this is where they're wrong. Kerana yang menjadi pencegah perbuatan keji dan mungkar itu, adalah proses yang dilakukan dengan khusyu' dan istiqamah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.

"Barangsiapa berwudhu' seperti wudhu'ku ini, kemudian dia mengerjakan solat dua rakaat, dan ia tidak berkata-kata pada dirinya (akan perkara dunia) dalam dua rakaat itu, nescara akan diampuni dosa-dosanya yang lalu." (HR Bukhari & Muslim)

Maka apa tunggu lagi? Ayuh kita basuh qalbu kita. Bahkan bukan cuma sekali-sekala, malah sekurang-kurang lima kali sehari. Insya-Allah apabila qalbu bersih, akal pun waras, dan akhlak menjadi indah :)


Sunday, 27 January 2013

Qudwah Hasanah Sepanjang Zaman

Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaum mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. " 
(At-Taubah ; 128)
Tanggal 12 Rabiulawal, tarikh yang sangat bermakna kerana lahirnya Nabi Muhammad SAW di dunia ini. Hadirnya baginda bagai cahaya yang menyinari hidup manusia. Baginda banyak berkorban dan berjuang untuk menyebarkan dan menegakkan Islam sehingga kita dapat menikmati dua nikmat yang terbesar iaitu iman dan islam pada hari ini..Alhamdulillah..

Banyak dugaan yang telah baginda lalui sepanjang perjalanan sebagai rasul..ancaman bunuh, diperangi, dipukul, dibaling batu sampai bertakung darah dalam kasut baginda semata-mata untuk menyebarkan dakwah. Baginda menyampaikan dakwah bukan hanya dari sisi tauhid, malah membina tiang akhlak yang mulia yang boleh mematahkan rancangan jahat kafir malah menarik minat mereka untuk memeluk Islam.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,
"Sungguh, aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia." (HR. Baihaqi dan Al-Hakim)              
Baginda mempunyai akhlak yang sangat mulia sehinggakan akhlaknya disamakan dengan kitab suci Al-Quran.
Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi SAW adalah Al-Quran." (HR Muslim).
Anas RA berkata, 
"Sungguh, Rasulullah SAW benar-benar manusia dengan akhlak yang paling mulia." 
(HR Bukhari-Muslim).

cak! :)
Salah satu kisah yang menggambarkan akhlak baginda yang mulia ialah Rasulullah SAW dengan sebiji limau. Kisahnya begini : 

"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa limau itu tidak dikongsi bersama mereka. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan 
"Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."
Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah".
Semoga kita sentiasa belajar sesuatu daripada baginda Rasulullah SAW dan sentiasa berselawat dan mengamalkan sunnahnya. Salam Maulidur Rasul buat semua. :)

p/s: terjumpa sajak ini di laman web i luv islam...sangat menyentuh hati

Sewaktu kecil,
Aku mendengar ibu bercerita,
Tentang seseorang yang hebat,
Seorang lagenda yang masih hidup setelah ribuan tahun,
Di dalam hati-hati yang mencintainya.
Engkau mengembala dan berniaga,
Dengan akhlakmu kau berjaya,
Kemudian aku dengar,
Kisahmu dengan ibunda Khadijah,
Cintamu kepada Aisya Humaira,
Engkaulah lagenda percintaan.
Bila remaja,
Aku baca kisahmu dan para sahabatmu,
Hikayat persahabatan dan perjuangan yang ulung,
Abu Bakar sentiasa disisi,
Umar yang membela,
Uthman pemilik dua cahaya,
Ali yang zuhud suami Fatimah permata hatimu,
Dari kisah mereka aku kenali dirimu,
Engkaulah lagenda persahabatan.
Kini,
Aku seorang dewasa,
Aku masih hidup untuk mendengar sejarah hidupmu,
Namun betapa aku rasakan dunia kini,
Cukup utopia,
Aku tidak mampu melihat sirahmu berulang pada zaman ini,
Aku tidak merasakan manisnya persaudaraan,
Akhlakmu Janggal pada zaman ini.
Ya Rasulullah,
Aku impikan kehidupan 1400 tahun dahulu,
Aku bisa mendengar ucapanmu dengan telinga ini,
Memperkuatkan iman dan kecintaan,
Aku bisa melihat ajaranmu dengan mata ini,
Seperti yang dilihat para sahabat,
Sehingga mampu menginfak seluruh kehidupan demi Islam.
Aku umat akhir zaman Ya Rasulullah!
Akulah buih-buih itu,
Aku merinduimu, Ya Rasulullah,
Rindu melihat apa yang aku dengar,
Apa yang aku baca,
Kisah lagenda yang akan terus hidup,
Dalam hati-hati umatmu yang bertaqwa.
Ya Allah,
Selawat dan salamku buat kecintaan dan kerinduan agung,
Rasulullah S.A.W kekasih-Mu,
Aku hidup pada zaman ini,
Hanya mampu berusaha dan berdoa,
Agar nama aku layak dipanggil,
Oleh Rasulullah dengan bibirnya yang mulia,
Untuk bersamanya dan para sahabat serta para solihin,
Di syurga yang abadi.


Jom selawat sama-sama! :D


Tuesday, 15 January 2013

Tadabbur Surah Al-Ikhlas

Ayuh kita belajar memahami zat Allah daripada surah yang ke -112 di dalam Al-Quran, iaitu Surah Al-Ikhlas.


Allah itu “ahad”. Kenapa tidak disebut “qul huwallahu wahid” misalnya, sedangkan antara “ahad” dan “wahid” more or less the same? Nah, di sinilah pentingnya untuk kita mempelajari Bahasa Arab. Bahasa Arab, walaupun beberapa perkataan arab itu sama maknanya apabila diterjemahkan ke bahasa kita, namun hakikatnya setiap perkataan itu membawa indikasi maksud yang berbeza.

Bila disebut “wahid”, memang Allah itu “satu”. Cuma, bila orang nak lumba lari misalnya, orang akan kira “wahid, isnan, salasa” atau terjemahannya “satu… dua….. tiga…”. Ini berbeza dengan perkataan “ahad.” “Satu” yang dimaksudkan melaui perkataan “ahad,” adalah satu yang tidak digunakan dalam pengiraan. Kerana itulah, ia biasanya diterjemahkan kepada “Esa.”

Contoh yang lain, jika orang tanya Ahmad, satu-satunya anak kepada pasangan Pakcik Jib dan Makcik Mah, “awak anak nombor berapa?” Jika Ahmad menjawab “saya anak no. satu.” Biarpun kenyataan Ahmad ini betul, namun jawapannya itu terkadang akan mengundang soalan susulan seperti “daripada berapa adik-beradik?” dan seumpamanya. Tetapi, jika Ahmad menjawab “saya anak tunggal,” maka tidak akan ada soalan susulan yang menyusul. Begitulah perumpamaan bezanya perkataan “ahad” dan “wahid.” Lalu, bila Allah-lah satu-satunya di dalam hati kita (satu-satunya atau tunggal atau esa, bukan pertama kerana isteri pertama mungkin akan disusuli oleh isteri kedua dan seumpamanya), maka akan wujudlah yang kita panggil “keikhlasan.”

“Allahu as-Shomad.”
Kepada Dialah kita bergantung, kepada Dialah kita berserah, hanya kepada Dialah kita memohon pertolongan. Lantas, orang yang meminta pertolongan kepada yang selain-Nya, seperti kepada bomoh atau kuburan dan sebagainya, akan disebut sebagai syirik. Dan untuk merasakan cukup hanya kepada Allah kita bergantung-harap, maka kita harus merasakan kehebatan Allah Azza Wa Jalla. Sebab, sebagai contoh, jika anda nak minta pengurangan bayaran saman, tak mungkin anda akan minta daripada peminta sedekah di pinggiran jalan. Tak mungkin, sebab anda tahu dia tidak ada “power.” Tapi, anda biasa akan minta pada seseorang yang diyakini ada kuasa, ada pengaruh, untuk mengurangkan saman tersebut, seperti Pegawai Tinggi Polis, atau Ahli Politik, dan sebagainya. Maka, bila menyebut “Allahus Shomad,” ia datang sekali dengan keyakinan terhadap zat dan sifat-sifat Allah Yang Maha Kuasa.

Ada pun, berkenaan Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, selain merupakan perbezaan di antara kita dan Kristian, ia juga dilihat dari sisi ketergantungan. Insan, apabila ia sampai ke usia lanjut terutamanya, ia akan semakin desperate kepada keinginan memiliki anak. Kerana ia ingin “disayangi” selain “menyayangi”, chewah… Maka Allah, kerana keesaan-Nya, Ia independent. Kalau seluruh makhluk di muka bumi tidak mencintai Allah sekalipun, Allah tidak akan frust menonggeng. Allah tetap tidak akan turun dari jawatannya sebagai Rabb kepada sekalian alam (khusus untuk Malaysia, Rabb buat orang Muslimin sahaja #sarcasm). Seluruh kebahagiaan yang diperoleh daripada sistem kekeluargaan, tidak diperlukan oleh Allah. Namun Allah menyebarkan rahmah dan cinta-Nya kepada makhluk, tetap tidak kunjung putus.




Sunday, 30 December 2012

Hentikan Hibernasi

Mengungkap kata-kata bapa kemerdekaan India iaitu Mahatma Gandhi, "Sekiranya kamu menginginkan perubahan, kamu hendaklah menjadi sebahagian daripada perubahan itu." Maka jelaslah, betapa perubahan itu memerlukan azam, keinginan, serta komitmen yang tinggi demi mencapai matlamat. Namun realitinya, adakah kita benar-benar sedang mengimplementasikan usaha ke arah itu? Keadaan umat yang semakin parah, gelisah dan kronik menggambarkan yang sebaliknya.

Kala ini, agama itu dicela sehina-hinanya. Umat kita bagaikan lilin yang diancam oleh ribut di luar rumah. Anginnya yang kuat bisa memadamkan nyalaan lilin bila-bila masa saja. Apatah lagi sekiranya saluran-saluran yang sepatutnya ditutup semakin lama semakin terbuka.
"Dan peliharalah dirimu daripada fitnah (azab & bala) yang tidak menimpa kepada orang zalim dalam kalangan kamu sahaja, Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksanya." (Surah Al-Anfal 8: 25)

Memang ramai antara kita yang tidak terasa. Jika terasa pun, kebanyakannya hanya mampu mencela namun tidak sanggup menanggung berat beban pikulan tanggungjawab. Tanggungjawab menjadi superhero penyelamat ummah daripada belenggu kenistaan. Hakikatnya, kita makin rendah martabatnya. Bumi Palestin tetap saja bermandi darah. Maruah adik-beradik saudari-saudari kita bagaikan murahan dicemari oleh anjing-anjing syaitan. Bahkan nasib ummah di Tanah Melayu tercinta ini pun bagai telur di hujung tanduk. Di manakah kita?

Kita marah tatkala Geert Wilders menerbitkan Fitna, kita berang apabila Salman Rushdi menulisThe Satanic Verses, kita geram ketika Azlina Jailani mahu puin Fatimah Tan memohon murtad, dan kita bengang apabila Suffiah tewas di kancah pelacuran. Ya, semuanya memaparkan betapa rendahnya martabat umat. Kita juga sedar betapa perubahan itu perlu.
"...Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan mereka sendiri..." (Surah Ar-Ra’d 13: 11)
Maka tercetuslah pelbagai pendapat, terdengarlah variasi celaan. Masing-masing menyalahkan pihak yang lain tanpa refleksi diri sendiri. Ya, itulah kita. Segala apa kesalahan yang berlaku sudah semestinya akibat perbuatan orang lain, tidak pernah oleh kita.

Suatu survey yang dilaksanakan oleh Majalah i telah mencatatkan lebih kurang 60% muallaf kembali murtad. Maka, kita pun mula menyalahkan pihak jabatan agama, keluarga baru, mahu pun sesiapa saja yang mampu kita persalahkan.
"Dan katakanlah: Telah datang kebenaran dan lenyaplah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu sememangnya pasti lenyap." (Surah al-Isra’ 17: 81)
Memang benar! Truth will always and truly win! Itulah janji Tuhan! Namun, adakah zaman ini Tuhan berbohong? Segala macam kebejatan sosial sedang berlaku di hadapan mata kita, namun keadilan seakan-akan tidak wujud.

Maka berbohongkah Tuhan? Dustakah janji-janjiNya? Kalam-Nya menipu?

Moga kita sama-sama bermuhasabah. Ayat daripada surah ar-Ra’d tadi jelas menggambarkan betapa usaha itu perlu. Sebelum kemenangan dalam ayat pada surah al-Isra’ tadi bisa dicapai, tiga ayat sebelumnya jelas menggambarkan betapa kemenangan itu WAJIB didahului dengan ibadah, doa, dan usaha. Tanpa ketiga-tiganya, maka kita akan tetap menjadi merak yang cuba untuk terbang, bagaikan gagak yang kempunan menjadi putih.
"Laksanakanlah solat sejak matahari tergelincir sampai gelapnya malam dan subuh. Sungguh,solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat). 
Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai) tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji. 
Dan katakanlah: ya Tuhanku, masukkan aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan aku ke tempat keluar yang benar, dan berikanlah kepadaku daripada sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku." (Al-Isra' 17: 78-80)
Pernahkah anda menonton filem I Am Legend? Antara hikmah yang boleh dipetik daripada filem tersebut ialah kata-kata, "Orang-orang jahat di seluruh dunia tidak pernah rehat dalam menjalankan komplot jahat mereka. Jadi mana mungkin aku bisa berehat."

Nah, di manakah kita? Selaku Muslim yang dahulunya pernah menguasai 2/3 dunia, selayaknya kita berasa malu yang amat.
"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam dengan menyeluruh. Dan janganlah kamu menurut jejak langkah dan program-program Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (Surah Al-Baqarah 2: 208)
Ayuh, hentikan hibernasi!