"Those who cannot
remember the past are condemned to repeat it"
-George Santayana-
Saya kira, ramai daripada kita
sebenarnya telah hafal kata-kata ini yang tercetak pada halaman buku teks
Sejarah sekolah menengah. Secara umumnya, ia menjelaskan peri pentingnya bagi
seseorang insan itu untuk mengetahui, memahami, seterusnya mengambil iktibar
dan pengajaran akan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dan mempunyai
hubungan rapat (sekurang-kurangnya) dengan diri, bangsa atau tanah airnya.
Namun, jika satu kajian secara
rambang dilakukan dalam kalangan mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai
penghafal pelajar, saya kira ramai yang akan memilih Sejarah bagi menggondol
anugerah 'subjek yang membosankan'.
Ikhwah
fillah,
Jika dapat kita berhenti sejenak,
dan memandang kebelakang, jarak antara kita dan Daulah Islam Turki
Utmaniyyah sebenarnya belumpun sampai satu abad (sekitar 1923/1924 M). Namun,
kita telah merasakan bahawa keberadaan sebuah Negara Islam, yang diperintah
oleh seorang Khalifah atau pemimpin bagi sebuah Daulah Islamiyyah(gabungan
daerah-daerah Islam) itu seolah-olah telah meninggalkan kita ratusan tahun lamanya.
Dan mungkin ramai yang memandang
bahawa catatan sejarah itu hanyalah sekadar satu catatan yang perlu dihafal
bagi mencantikkan lagi keputusan pada Sijil Pelajaran Malaysia, dan tidak
kurang juga yang mungkin memandang bahawa ianya hanyalah sekadar satu bahan
baca bersifat santai, sebagai makalah bagi mengisi waktu terluang.
"Sejarah tidak
membosankan. Sejarah juga bukan gula-gula romantik untuk beremosi lagi
dramatik. Sejarah adalah realiti silam yang berguna buat memahami realiti
semasa, demi memimpin realiti masa hadapan."
Ikhwah
fillah,
Sungguh, antara kerugian dan
kebodohan terbesar yang dapat saya rasakan adalah pabila saya memikirkan semula
betapa saya hanya sekadar bersikap acuh tak acuh dan culas dalam mempelajari
Sejarah (juga subjek-subjek yang lain/boleh kata hampir semua subjek) sewaktu
di sekolah dahulu.
Ayat demi ayat yang dihafal,
tanpa benar-benar memahami, apatah lagi cuba mengait/mempraktikkan ia dalam
kehidupan seharian, dilakukan hanyalah sekadar membolehkan mata pena
mengisi/memuntahkan ia kembali dalam ruang-ruang kosong jawapan.
"Sesungguhnya
pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada
tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi
orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan
mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring
mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil
berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini
dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
(Surah Ali-Imran :
190-191)
"Kelebihan Alim(orang yang
berilmu) berbanding Abid(ahli Ibadah)
adalah seperti kelebihanku atas manusia yang paling rendah dikalangan kamu"
(Hadith)
Nah jelas, ia menunjukkan bahawa
antara mereka yang sekadar menghafal dan menjadikan ia sebagai satu rutin,
dengan mereka yang benar-benar memahami menurut disiplin ilmu yang digariskan
agama, terdapat jurang perbedaan yang sangat besar! Tetapi, hal ini tidak menafikan
bahawa dalam tingkatan-tingkatan menguasai satu bidang ilmu itu, menghafal
merupakan antara komponen yang asas. Cuma, ingin ditegaskan, bahawa hafalan,
mestilah disusuli dengan kefahaman.
Ikhwah
fillah,
Natijahnya, ingin saya mengajak
kita semua untuk sama-sama mengembangluas potensi kita, dengan menambahkan lagi
bahan bacaan, seterusnya meningkatkan kefahaman terhadap pelbagai
bidang/disiplin ilmu, dan 'Sejarah" merupakan suatu permulaan yang sangat
sesuai. Moga-moga, laungan kita bagi menuju kearah pembentukan semula Daulah
Islamiyyah, akan dapat diperkasakan lagi, dan ini tentunya dengan kita terlebih
dahulu mengaji dan mengkaji jatuh bangun Daulah Islamiyyah yang terdahulu secara objektif dan komprehensif.
"Keagungan
sesuatu bangsa itu ditentukan oleh kepentingan yang diberikan kepada sejarah.
Sejarah merupakan suatu khazanah yang amat bernilai.
Sejarah adalah gedung pengalaman. Bangsa yang agung adalah bangsa yang menempuh sejarah dan yang mahu mempelajari dari sejarah. Sesuatu bangsa yang tidak mempelajari daripada sejarah akan terus melakukan kesalahan berkali-kali yang akan berakhir dengan keruntuhan bangsa itu. Daripada sejarah kita menghargai kehormatan diri kita."
Sejarah adalah gedung pengalaman. Bangsa yang agung adalah bangsa yang menempuh sejarah dan yang mahu mempelajari dari sejarah. Sesuatu bangsa yang tidak mempelajari daripada sejarah akan terus melakukan kesalahan berkali-kali yang akan berakhir dengan keruntuhan bangsa itu. Daripada sejarah kita menghargai kehormatan diri kita."
(Tun Dr Mahathir
Mohamad)
No comments:
Post a Comment