Sunday, 21 September 2014

Anak kecil itu...

       HUSM, 2013

   Bila aku dapat tahu yang kami satu kumpulan PBL perlu ke wad pediatrik untuk bermain main
dengan pesakit di sana, aku dapat merasakan yang aku takkan mendapat input yang banyak dari apa
yang dirancang oleh doktor. Manakan tidak. Aku tak reti nak ambil hati kanak kanak. Aku tak punya
anak anak buah.

   Pada hari tersebut, aku bergegas ke wad pediatrik. Awal dari masa yang ditetapkan. Sebakul mainan telah disediakan.

   Melangkah masuk ke wad. Aku mencari kanak-kanak yang sesuai untuk aku dekati. Aku tertarik
dengan seorang pesakit. Umurnya aku kira dalam lingkungan setahun. Ibu bapanya masih muda. Ah.
Mudahlah kerja aku. Aku mendekati bapanya. Namanya Encik A. Aku mulakan perbualan.

   Perbualan topik topik ringan. Tentang pelajaran aku. Tentang rumah dia. Tentang masa depan aku. Tentang pekerjaan dia..

   Habis modal bercerita. Aku mendekati anak dia, Arif. Sekali imbas, Arif nampak normal. Aktif. Tapi selepas bermain main dengan Arif, aku nampak Arif ada ciri-ciri pesakit Sindrom Down. Aku diamkan. Aku tak mahu memulakan topik sensitif sekarang. Aku teruskan bermain dengan Arif tanpa
menghiraukan yang hakikatnya Arif mempunyai Sindrom Down.




   Aku teruskan berbual dengan Encik A. Sambung perbualan, tanpa menyentuh topik berkenaan anknya, Arif. Sampai ke satu tahap, kami kehabisan modal berbual lagi. Aku diam. Encik A bersuara.
“Nak jaga anak istimewa ni perlukan penjagaan khas. Mereka tak macam anak anak yang lain...”

   Ni peluang aku. Aku bercerita tentang pengalaman aku berkawan dengan anak anak istimewa kerana aku dari kecil lagi didedahkan dengan anak anak istimewa seperti disleksia, ADHD, austisme dan Sindrom Down. Ibu seorang guru. Guru Pendidikan Khas. Dia terdiam. Aku berceloteh lagi. "Mereka istimewa kerana biasanya mereka lebih penyayang dari anak anak yang lain." Encik A seakan cuba menghadam sesuatu dari kata kata aku.


   Aku beri Encik A peluang berceloteh pula. Dia mula bercerita tentang Arif sejak lahir sehingga
sekarang. Tentang bahagianya dia mendukung Arif sebagai anak sulungnya. Tentang bagaimana
perasaannya apabila doktor pakar memberitahunya bahawa Arif istimewa. Tentang bagaimana dia
menjaga Arif dengan penuh kasih sayang. Tentang dia sudah 2 minggu berkampung di Hospital USM.

Seperti dah lama kenal. hampir 15 minit, dia tak habis bercerita lagi. Aku tahu, ada sesuatu yang terbeban di bahunya. Aku harap aku dapat meringankan sedikit beban yang Encik A tanggung. Sebelum aku pergi, aku pesan kepada Encik Arif.
“Anak istimewa macam Arif ni jangan dibeza bezakan. Sayang mereka sama macam kita sayang anak-anak kita yang lain. Beri mereka pelajaran. Lengkapkan mereka dengan ilmu.”
Ya. Aku tahu aku tidak layak memberi nasihat kerana aku pun tak punya anak lagi. Tapi itulah kata
kata ibu.

   Selepas bersalam dengan Encik A, aku beralih ke katil pesakit lain. Aku harap tindakan kecil aku
dapat memberi impak besar kepada Encik A.


Maklumat lanjut;
Persatuan Sindrom Down Malaysia
Parents Resource for Autism Malaysia

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tiap-tiap ciptaan itu, sungguh padanya mempunyai kebaikan. Bukankah Tuhan telah berfirman dalam kalamNya yang agung, bahawasanya manusia ini merupakan sebaik-baik ciptaan? Seorang Mukmin itu tidaklah semata menilai kondisi keadaannya di dunia, tetapi ia lebih mengutamakan natijah hidupnya di akhirat.

"Ujian adalah tarbiah dari Allah
Apakah kitakan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari tuhan"




No comments:

Post a Comment