Friday, 10 April 2015

Keajaiban Saintifik Al-Quran


Al-Quran merangkumi pelbagai ilmu, termasuklah ilmu sains. Terdapat ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian alam semesta serta fenomena-fenomena saintifik yang dinyatakan berabad lamanya sebelum ditemui dan dikaji oleh manusia. Keajaiban fakta saintifik yang telah diceritakan dalam Al-Quran mendorong para ilmuwan dan cendekiawan untuk menerokai rahsia alam ciptaan Allah.

Langit Dan Bumi Pada Asalnya Bercantum

Teori yang diterima umum mengenai asal kejadian alam adalah teori Big Bang ataupun 'Letupan Besar' yang menyatakan alam ini pada asalnya bercantum padu dan kemudian berlakulah satu letupan yang kuat sekitar 10 hingga 20 bilion tahun dahulu. Semenjak itu, berlakulah pengembangan dan penyejukan sehingga akhirnya lahirlah bintang-bintang, galaksi dan yang seumpamanya. 

Teori ini pada asalnya diasaskan daripada formula General Theory of Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915 dan seterusnya dikukuhkan lagi dengan penemuan saintifik oleh seorang pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann pada tahun 1922 dan tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble pada tahun 1929. Kejadian alam ini telah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran pada awalnya sebelum ditemui oleh manusia:

"Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi itu pada asalnya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya...
[Surah Al-Anbiya:30]

Mengikut kajian saintifik juga, badan manusia mengandungi jumlah air yang banyak berbanding dengan komposisi yang lain dan fakta ini telah disebut dalam Al-Quran;

"...dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal dari air; maka mengapa mereka
 tidak beriman?"
[Surah Al-Anbiya:30]



Langit Dan Bumi Berasal Daripada Asap

Menurut kajian, di peringkat awal proton bercantum dengan neutron menghasilkan heavy hydrogen di samping gas-gas ringan yang lain iaitu helium, litium, berilium dan boron. Gas-gas ini dikenali sebagai primary nebula. Angkasa didominasi oleh gas-gas yang berupa asap ini dan selepas lebih kurang 1 juta tahun, gas- gas ini membeku dan bercantum mengikut proses-proses tertentu sebelum menjadi galaksi, bintang-bintang dan bumi. Sebelum ahli sains menemukaan tentang gas-gas berupa asap ini yang membentuk langit dan bumi, Allah telah menyatakan terlebih dahulu di dalam Al-Quran;

"Kemudian Dia menuju ke langit dan langit ketika itu berbentuk asap, lalu Dia berkata kepadanya dan bumi, 'Datanglah kamu berdua dengan tunduk ataupun terpaksa'. 
Keduanya menjawab, 'Kami datang dengan tunduk'."
[Surah Al-Fussilat:11]


Bulan Dan Matahari Beredar Pada Orbitnya

Bulan dan matahari mempunyai laluan orbit tertentu seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran;

"Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. 
Masing-masing beredar pada garis edarnya."
[Surah Al-Anbiya:33]

Dalam ayat lain juga dinyatakan bahawa matahari sebenarnya bukan objek yang statik tetapi juga mempunyai orbitnya tertentu;

Dan matahari beredar di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan (Allah) yang 
                             Maha Perkasa dan Maha Mengetahui.                               
[Surah Yaasin:38]




Pergerakan Gunung-ganang

Dalam sebaris ayat, kita telah dimaklumkan bahawa gunung-ganang bukanlah kaku seperti yang kita lihat, tetapi adalah dalam pergerakan secara berterusan;

Dan kamu melihat gunung-gunung itu, kamu menyangka ianya tetap di tempatnya, 
padahal ia bergerak seperti geraknya awan. 
[Surah An-Naml:88]
Pergerakan gunung-ganang ini adalah disebabkan oleh pergerakan dalam kerak bumi di mana ia terletak. Kerak bumi 'terapung' di atas lapisan mantel, yang lebih padat. Pada awal kurun ke 20, pertama kali dalam sejarah apabila seorang saintis jerman bernama Alfred Wegener mengemukakan bahawa benua-benua bumi sebenarnya bergabung bersama ketika ia terbentuk pertama kali, tetapi kemudian hanyut dalam arah yang berbeza-beza, dan akhirnya terpisah ketika bergerak menjauhi antara satu sama lain.
******
Sesungguhnya Allah maha besar dan maha kuasa menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi dengan teliti, sistematik dan menakjubkan. Jadi, sahabat-sahabat sekalian, marilah kita bertafakur, bertadabbur dan menghayati ciptaan Allah, melihat bukti kekuasaanNya supaya kita boleh mengenali Allah, beriman kepada Allah dan mendekatkan diri kepada Allah.
Sungguh, kalau mahu memikirkan tentang kebesaran Allah yang ada pada alam semesta ini, sudah tentulah otak kita tidak boleh menggarap kesemuanya. Kita tidak perlu ke angkasa untuk meneroka segala galaksi, meteor, planet-planet, tetapi cukup melihat pada apa yang ada di sekeliling kita, kejadian siang dan malam, cahaya matahari, bulan, burung-burung, gunung-ganang, langit, awan, tanaman hijau, haiwan, semuanya tenang dan indah kan?  ^-^
Bukankah banyak firman Allah dalam Al-Quran yang menyeru manusia untuk berfikir?
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang 
terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang berakal," 
[Surah Ali-'Imran:190]
"..Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi! Tidaklah bermanfaat tanda-tanda kebesaran Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang yang tidak beriman." 
[Surah Yunus:101]
Sumber; Bukti-bukti Sains & Sejarah Kerasulan Muhammad (Dr. Danial Zainal Abidin)


No comments:

Post a Comment