Sunday, 27 January 2013

Qudwah Hasanah Sepanjang Zaman

Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaum mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. " 
(At-Taubah ; 128)
Tanggal 12 Rabiulawal, tarikh yang sangat bermakna kerana lahirnya Nabi Muhammad SAW di dunia ini. Hadirnya baginda bagai cahaya yang menyinari hidup manusia. Baginda banyak berkorban dan berjuang untuk menyebarkan dan menegakkan Islam sehingga kita dapat menikmati dua nikmat yang terbesar iaitu iman dan islam pada hari ini..Alhamdulillah..

Banyak dugaan yang telah baginda lalui sepanjang perjalanan sebagai rasul..ancaman bunuh, diperangi, dipukul, dibaling batu sampai bertakung darah dalam kasut baginda semata-mata untuk menyebarkan dakwah. Baginda menyampaikan dakwah bukan hanya dari sisi tauhid, malah membina tiang akhlak yang mulia yang boleh mematahkan rancangan jahat kafir malah menarik minat mereka untuk memeluk Islam.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,
"Sungguh, aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia." (HR. Baihaqi dan Al-Hakim)              
Baginda mempunyai akhlak yang sangat mulia sehinggakan akhlaknya disamakan dengan kitab suci Al-Quran.
Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi SAW adalah Al-Quran." (HR Muslim).
Anas RA berkata, 
"Sungguh, Rasulullah SAW benar-benar manusia dengan akhlak yang paling mulia." 
(HR Bukhari-Muslim).

cak! :)
Salah satu kisah yang menggambarkan akhlak baginda yang mulia ialah Rasulullah SAW dengan sebiji limau. Kisahnya begini : 

"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa limau itu tidak dikongsi bersama mereka. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan 
"Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."
Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah".
Semoga kita sentiasa belajar sesuatu daripada baginda Rasulullah SAW dan sentiasa berselawat dan mengamalkan sunnahnya. Salam Maulidur Rasul buat semua. :)

p/s: terjumpa sajak ini di laman web i luv islam...sangat menyentuh hati

Sewaktu kecil,
Aku mendengar ibu bercerita,
Tentang seseorang yang hebat,
Seorang lagenda yang masih hidup setelah ribuan tahun,
Di dalam hati-hati yang mencintainya.
Engkau mengembala dan berniaga,
Dengan akhlakmu kau berjaya,
Kemudian aku dengar,
Kisahmu dengan ibunda Khadijah,
Cintamu kepada Aisya Humaira,
Engkaulah lagenda percintaan.
Bila remaja,
Aku baca kisahmu dan para sahabatmu,
Hikayat persahabatan dan perjuangan yang ulung,
Abu Bakar sentiasa disisi,
Umar yang membela,
Uthman pemilik dua cahaya,
Ali yang zuhud suami Fatimah permata hatimu,
Dari kisah mereka aku kenali dirimu,
Engkaulah lagenda persahabatan.
Kini,
Aku seorang dewasa,
Aku masih hidup untuk mendengar sejarah hidupmu,
Namun betapa aku rasakan dunia kini,
Cukup utopia,
Aku tidak mampu melihat sirahmu berulang pada zaman ini,
Aku tidak merasakan manisnya persaudaraan,
Akhlakmu Janggal pada zaman ini.
Ya Rasulullah,
Aku impikan kehidupan 1400 tahun dahulu,
Aku bisa mendengar ucapanmu dengan telinga ini,
Memperkuatkan iman dan kecintaan,
Aku bisa melihat ajaranmu dengan mata ini,
Seperti yang dilihat para sahabat,
Sehingga mampu menginfak seluruh kehidupan demi Islam.
Aku umat akhir zaman Ya Rasulullah!
Akulah buih-buih itu,
Aku merinduimu, Ya Rasulullah,
Rindu melihat apa yang aku dengar,
Apa yang aku baca,
Kisah lagenda yang akan terus hidup,
Dalam hati-hati umatmu yang bertaqwa.
Ya Allah,
Selawat dan salamku buat kecintaan dan kerinduan agung,
Rasulullah S.A.W kekasih-Mu,
Aku hidup pada zaman ini,
Hanya mampu berusaha dan berdoa,
Agar nama aku layak dipanggil,
Oleh Rasulullah dengan bibirnya yang mulia,
Untuk bersamanya dan para sahabat serta para solihin,
Di syurga yang abadi.


Jom selawat sama-sama! :D


No comments:

Post a Comment