Tuesday 22 November 2016

Merealisasikan Ikrar

Barangkali antara momen paling diimpi-impikan oleh setiap pelajar perubatan, ialah saat melafazkan ikrar graduan. Saat itu, segala penat lelah selama ≥5 tahun, berserta segala titisan air mata, peluh dan darah, seolah-olah terbayar dengan terbentuknya seorang doktor muda yang tegap berdiri melafazkan ikrar. Wah, tegapnya ia saat berdiri mengangkat tangan, melafazkan kata-kata ikrar dengan penuh semangat.

WCG '16 - Oh hemsemnya abam class rep memimpin bacaan ikrar graduan.

Ironinya, barangkali kebanyakan kita -termasuk saya- terlepas pandang tentang betapa beratnya nilai sekumpulan kata-kata yang dinamakan "ikrar".

* * * * * * *

IKRAR - menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 (yup yang kulitnya berwarna merah itu) didefinisikan sebagai "lafaz janji yang sungguh-sungguh, biasanya disertai dengan sumpah".

Sahabat sekalian,
Kehidupan seorang muslim, tidak boleh tidak dimulai dan disertai dengan ikrar. Bahkan, terutamanya bagi seorang yang berbapakan seorang muslim, kemungkinan besar juga antara kalimah terawal yang didengarkan kepadanya sejak saat ia dilahirkan ialah kalimah ikrar.

Ya, itulah kalimah ikrar as-syahadatain. Dua kalimah syahadah. Kalimah ikrar terawal, terakhir, dan terpenting bagi seorang muslim.


Perkataan "syahadah" memiliki beberapa makna yang dapat kita temukan dalam kamus bahasa Arab. Antaranya adalah "ikrar". Nah, maka sesungguhnya kalimah syahadatain itu merupakan kata-kata ikrar, kata-kata janji yang sesungguh-sungguhnya. Seseorang itu lantas menjadi muslim tatkala ia melafazkan kalimah ikrar "asy-hadu an laa ilaaha illa Allah wa asy-hadu anna Muhammad rasulullah." (Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu rasul Allah.)

Ikhwah fillah,
Walau bagaimanapun, tidaklah lengkap syahadatain jika sekadar kata-kata. Demi mencapai status mukmin, seorang muslim perlu merealisasikan makna syahadatain. Syahadatain yang direalisasikan akan memberikan gambaran yang sangat jelas tentang hubungan mukmin dengan Allah, lantas membangun dan membentuk kehidupannya sungguh-sungguh selaku seorang mukmin.

Demi merealisasikan makna syahadatain itu, seorang mukmin itu melaksanakan perkara-perkara tersebut:

1. Kecintaan

Merealisasikan makna ikrar terhadap Allah, perlu disertai dengan kecintaan kepadaNya. Kerana manusia itu menjadi hamba kepada yang dicintainya. maka kecintaan yang maha agunglah yang akan menguatkan ikrar kepada Allah. Ulasannya mudah dan terbentang jelas di mana-mana.

Semua serba maklum bahawa kerana cinta, "lautan api sanggup ku renangi". Bak lirik lagu True Love, "it's a gift I would never let go, I would give my body and soul, everyday in my heart I feel it grows". Kerana cinta, segala kesusahan dan kesakitan malah kematian pun sanggup dihadapi, sepertimana matinya watak Juliet dan Romeo dan berkatalah si Putera,

"For never was a story of more woe, than this of Juliet and her Romeo."
Tanpa cinta yang kukuh, maka ikrar dan penyaksian yang dilafazkan menjadi rapuh. Tidak hairanlah jika tanpa cinta, si kekasih berundur diri tatkala tiada kapal untuk menyeberangi lautan api. Tidak hairanlah jika seorang tentera yang ketandusan cinta terhadap tanah airnya, mengkhianati ikrarnya pada negara. Tidak hairanlah apabila ikrar seorang suami untuk memelihara kehormatan dan kesetiaan pada isterinya, jadi goyah apabila kepalsuan cinta itu membuatnya sanggup khianat bermain kayu tiga.

Maka demi merealisasikan syahadatain yang benar-benar kukuh, cinta seorang mukmin kepada Allah perlulah tidak tertanding. Cinta seorang mukmin kepada Allah melebihi segala-galanya.
"Dan ada antara manusia yang menyembah tuhan selain Allah sebagai tandingan yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang mukmin, sangat besar cintanya kepada Allah." (Surah Al-Baqarah [2]: 165)
Bagi seorang mukmin, cintanya kepada Allah itulah yang menggerakkan hati dan kehidupannya, sehingga benar-benarlah hidupnya lillahi ta'ala.
"Sesungguhnya orang-orang mukmin, apabila disebutkan nama Allah, gementar hatinya. Dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah imannya, dan mereka bertawakkal kepada Tuhannya." (Surah Al-Anfal [8]: 2)
Jika Romeo pun sanggup mati untuk Juliet dan vice versa, apatah lagi seorang mukmin itu lagilah sanggup mengorbankan dirinya atas dasar cinta dan pengharapannya agar Allah redha kepadanya.
"Dan ada antara manusia yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya." (Surah Al-Baqarah [2]: 207)
2. Amalan/perbuatan/kerja

Amalan kita tidak diperlukan oleh Allah, kerana ia sekali-kali tidak akan menambah keagungan dan kebesaranNya. Walhal yang memerlukan amal itu sebenarnya adalah kita, demi membuktikan lafaz-lafaz cinta dan ikrar kita kepada Allah.

Sesungguhnya cinta itu menuntut perbuatan, dan perbuatan itu membuktikan kecintaan. Buktinya, bahkan orang-orang yang kufur, yang mencintai selain Tuhan seperti dalam dalil [2: 165] pun beramal. Cumanya, balasan amalan demi ikrar dan cinta mereka pada selain Allah, adalah sia-sia.
"Perumpamaan orang yang kufur kepada Tuhannya, amalan mereka seperti abu yang ditiup oleh angin keras pada hari yang berangin kencang." (Surah Ibrahim [14]: 18)
Nah, apabila golongan kufur pun beramal demi cintanya, maka selayaknya golongan mukmin pun merealisasikan cinta dan ikrarnya pada Allah dengan beamal dalam dakwah dan jihad di jalanNya.
"Beramal/bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga RasulNya dan orang-orang mukmin. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui yang ghaib dan nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu tentang apa yang telah kamu kerjakan." (Surah At-Taubah [9]: 105)
3. Penawaran dan pembalasan/jual-beli

Seorang mukmin itu merealisasikan makna ikrar syahadatain dengan berjual-beli kepada Allah.
Ya, berjual-beli.

Ikhwah fillah,
Sebagaimana dalam urusan perniagaan perlu ada modal, begitulah seorang mukmin menjadikan kecintaan dan amalan sebagai modal dalam berniaga kepada Allah. Cuma yang menjadikan perniagaan ini 'pelik', ialah apabila setiap perniagaan di dunia ini mempunyai 'risiko' ie. potensi kerugian, namun perniagaan dengan Allah pasti mendatangkan keuntungan hakiki.
"Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?
(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah kejayaan yang agung." (Surah As-Saf [61]: 10-12)
[Kredit]
Di sinilah ikrar cinta dan amalan seorang mukmin kepada Allah itu berbeza berbanding ikrar kepada yang selain daripadaNya. Ikrar cinta dan amalan yang ditawarkan kepada Allah, pasti dibalas dan dibeli olehNya, sedangkan ikrar cinta dan amalan sesama manusia, ada yang melahirkan peribahasa "bertepuk sebelah tangan." Berilah walau seluruh cinta dan hati anda kepada insan biasa, tetap saja ada risiko hati itu ditolak, malah mungkin dipijak, dihenyak dan disepak. Peminat karya Buya Hamka pasti serba tahu betapa hancurnya hati yang ditawarkan dengan penuh cinta oleh Zainuddin, tatkala ia dikhianati dengan kecurangan ikrar Hayati. Hidupnya kehilangan asa dek ditolak cintanya.

Namun ia berbeza dengan ikrar cinta kepada Allah. Oleh sebab Allah pasti membeli cinta dan amalan seorang mukmin, maka ia tidak pernah putus harapan kepada Allah, apatah lagi kufur.
"Sesungguhnya yang berputus asa daripada rahmat Allah, hanyalah orang-orang kufur." (Surah Yusuf [12]: 87)
Sahabat sekalian,
Nah, demikianlah bagaimana seorang mukmin merealisasikan makna ikrar syahadatain. Ia menjiwai ikrarnya dengan cinta kepada Allah, dibuktikan dengan amalan dakwah dan jihad di jalanNya, kemudian ia terus-menerus berharap kepada Allah yang pasti membelinya dengan syurga :)

Maka jom, kita realisasikan ikrar kita. Semoga Allah menghidup dan mematikan kita dalam keimanan yang kukuh kepadaNya, dan semoga kita dibeli dengan balasan syurga 'Adn, kejayaan dan keuntungan yang hakiki.