Friday 5 April 2013

Taaruf & Taqwa

Assalamualaikum w.b.t. :)


Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah s.w.t, insya-Allah kali ini kita akan tadabbur & mengambil ibrah serba-sedikit daripada ayat ke-13 surah Al-Hujurat [49:13] yang bermaksud,
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu bertaaruf."
Seruan tersebut ditujukan kepada semua manusia, kerana Islam mengiktiraf kewujudan manusia yang berbilang kaum, berbilang agama, bahkan mempunyai pelbagai sifat. Tiada dua manusia diciptakan dalam keadaan yang sama, hatta identical twins sekalipun. Walaupun kita berketurunan daripada insan yang sama (Nabi Adam a.s.) namun hakikatnya perkembangan dan sifat genetik bahkan kelakuan manusia kini berbea-beza.

Bak kata pepatah, rambut sama hitam, qalbu lain-lain. Apatah lagi pesakit yang ada valvular heart disease hohoho...


Ok maafkan gurauan hambar tadi. Kita kembali serius -_-

1) Sahabat-sahabat sekalian,
Dek variety keturunan & sifat manusia itu, Allah mengarahkan kita untuk saling bertaaruf. Atau dalam bahasa melayunya, berkenalan. Nah, itulah nikmat genetic variety yang Allah kurniakan. Kerana perbezaan itu mewarnai dunia kita, lantas memudahkan lagi untuk kita saling mengenali.


Dan 'kenal' bagi seorang mukmin itu, bukanlah sekadar mengetahui nama seseorang. 'Kenal' bagi seorang mukmin itu, selayaknya dia juga memahami keluarganya, asalnya, hatta personaliti & sikapnya, kerana hal-hal itulah yang memainkan peranan besar dalam komunikasi masyarakat.

Kerana dalam perihal komunikasi, antara perkara yang menentukan sama ada proses give & take itu berjaya atau tidak ialah sejauh mana kedua-dua belah pihak memahami satu sama lain.
2) Seterusnya, kepentingan agar kita mengetahui asal-usul kejadian kita.

Ini adalah supaya kita faham bahawa perbezaan daripada segi bangsa semata-mata tidak memberikan kita apa-apa kelebihan yang abadi. Kerana itulah bagi manusia yang menghina dan memandang inferior terhadap bangsa lain, Allah mengingatkan bahawa martabat dan asal-usul kejadian kita adalah sama, dan tiada hak untuk kita menghina insan lain dek bangsanya.

Bahkan jika kita hayati, keluarga mana & bangsa apa yang kita dilahirkan ke dalamnya, bukanlah dalam bidang kuasa kita, namun ketentuan Allah semata-mata. Oleh itu apabila manusia menghina seseorang dek bangsanya, maka penghinaan itulah seolah-olah ditujukan kepada Allah s.w.t. Na'udzubillahi min dzalik!

3) Ehh nanti kejap, ayat tadi belum selesai lagi sebenarnya! Surah Al-Hujurat ayat ke-13 diteruskan lagi dengan firman-Nya yang bermaksud,
"Sesungguhnya yang paling mulia daripada kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti."
Sahabat-sahabat sekalian,
Setelah menekankan bahawa asal-usul manusia hakikatnya adalah sama, Allah mengingatkan bahawa seseorang manusia itu boleh mencapai kemuliaan yang melebihi manusia lain. Namun kemuliaan itu bukanlah terletak pada bangsa atau keturunannya, tetapi ketaqwaannya.

Kerana sifat taqwa itu adalah sesuatu yang perlu diusahakan oleh manusia. Inilah yang membezakan manusia; sama ada dia berusaha mengejar taqwa, ataupun dia membiarkan dirinya hanyut dalam nikmat dunia semata-mata.

Dan daripada ayat ini juga kita dapat memahami, bahawa sesepet mana pun mata si Ah Chong, segelap mana pun kulit si Govinji, taqwa di qalbu hanyalah Allah yang Maha Mengetahui. Lagipun, lupakah kita bahawa muazzin pertama ialah seorang bangsa Afrika yang sangat hitam kulitnya, dan telah dipastikan syurga untuknya?

"Sesungguhnya Allah tidak memerhatikan rupa dan harta kalian, tetapi Allah memerhatikan qalbu dan amalan kalian." (HR Muslim & Ibn Majah)
Jadi antara konklusi daripada 49:13 (Surah Al-Hujurat ayat 13) ialah betapa insan mulia itu ialah insan yang bertaaruf demi meningkatkan ketaqwaannya. Mereka itulah manusia yang mengejar taqwa dengan beramal soleh, beramar ma'ruf & bernahi munkar. Kerana mereka tahu, taqwa di qalbu itu tetap dalam ancaman bahaya sekiranya persekitarannya dalam keadaan yang rendah taqwanya. Atas sebab itu, mereka bukan sahaja mengejar taqwa, bahkan berjihad untuk menyebarkan taqwa!

Mereka bersahabat atas dasar taqwa, dan persahabatan sedemikianlah yang akan kekal selama-lamanya :)
"Teman-teman akrab pada hari itu (kiamat) sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." (Surah Az-Zukhruf [43]: 67) 

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika peristiwa penaklukan kota Makkah:
"Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menghilangkan daripada kalian kebanggaan jahiliyyah dan sikap saling membanggakan keturunan. Maka manusia itu hanya ada dua jenis: 1) orang yang berbakti, bertaqwa lagi mulia di sisi Allah, dan 2) orang yang derhaka, celaka lagi hina di sisi Allah." (HR Ahmad) 


Nah, pilihan kita cuma ada dua. What say you?


No comments:

Post a Comment