Bismillah.
Alhamdulillah, Allah izin, kita masih lagi berpeluang untuk menjalankan aktiviti seharian kita sebagai hamba, juga sebagai khalifah di bumi Allah swt ini. Semoga ruang dan peluang yang diberikan ini akan sama-sama membantu kita bagi mencapai redha Allah swt, insyaAllah.
Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Firman Allah swt;
"Pada hari ini, Aku sempurnakan agamamu untuk kamu dan Aku cukupkan nikmatKu kepadamu dan aku redha Islam menjadi agama bagimu"
(surah al-Maidah ; 3)
merupakan satu manifestasi betapa 'Deen' (agama) Islam ini merupakan agama yang lengkap dan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Daripada perkara-perkara yang dianggap kecil dan remeh seperti buang air, sehinggalah sebesar-besar perkara seperti ibadah, siyasah(politik) dan sebagainya.
Hakikatnya, Islam tidak boleh dilihat terpisah-pisah antara satu sama lain. Hal ini kerana, tiap-tiap sesuatu perkara yang diciptakan Allah swt mempunyai signifikasi terhadap hidup seseorang Muslim, dan mempunyai kaitan dengan Deen ini.
Sebagai agama yang lengkap dan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia; daripada tatacara berhubung dan meniaga, hinggalah kepada hubungan antara doktor dan pesakitnya, Islam telah memelihara dan menyelesaikan tiga maslahat (faedah) yang diperlukan oleh manusia secara seluruhnya.
Pertama : Perkara Daruriyyat
Ia merupakan perkara-perkara asas dalam kehidupan. Dibawahnya, ia terbahagi kepada lima bahagian;
--> Agama
--> Nyawa
--> Aqal
--> Keturunan
--> Harta Benda
Kedua : Perkara Hajjiyat
Ia merupakan perkara yang diperlukan manusia untuk menghilangkan kesusahan dan kesempitan hidup manusia. Ianya meliputi perkara-perkara samada dalam bidang ibadat, muamalat dan adat.
Misalnya, dalam hal ibadah, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) tertentu kepada umatnya. Misalnya mengizinkan seseorang untuk berbuka puasa ketika sakit di bulan Ramadhan, keharusan dalam melaksanakan solat wajib secara Jama' dan/atau Qasar, dan sebagainya.
Dalam konteks yang lain, Islam telah memberikan kebenaran untuk melaksanakan poligami dan penceraian ketika benar-benar perlu, dan dengan syarat-syarat yang tertentu bagi memenuhi tuntutan fitrah hambanya.
Justeru, Islam telah menyelamatkan dan memudahkan perjalanan hidup manusia dengan memberikan jalan-jalan keluar dan solusi terhadap permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh manusia.
Ketiga : Perkara Tahsiniyat
Ianya merupakan satu aspek penyempurnaan yang diperlukan bagi memperelok dan mencantikkan lagi kehidupan, serta untuk memelihara maruah dan akhlak manusia dalam semua aspek.
Dalam bidang perniagaan, Islam mengharamkan sebarang bentuk penindasan dan kesmaran dalam peniagaan. Dalam ibadah, Islam menggalakkan umatnya untuk memakai wangi-wangian sebelum melaksanakan ibadah, dan mewajibkan untuk berwudhu' sebelum solat dan sentiasa memelihara aurat kehormatannya.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Justeru, Islam merupakan satu agama yang mencakupi seluruh kehidupan manusia. Deen ini berteraskan 6 prinsip, Rukun-rukun Iman, iaitu;
-Percaya kepada Tuhan
-Percaya kepada para malaikat
-Percaya kepada kitab-kitab
-Percaya kepada para Rasul
-Percaya kepada Hari Akhirat
-Percaya kepada Qadha' dan Qadar
Dan hal ini akan tercapai melalui 5 Rukun-rukun Islam, iaitu;
-Mengucapkan dua kalimah syahadah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Muhammad pesuruh Allah)
-Solat lima waktu, sehari semalam
-Mengeluarkan zakat (bagi yang berkemampuan)
-Melaksanakan puasa di bulan Ramadhan
-Melaksanakan ibadah haji, bagi yang berkemampuan
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment