"Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah."
[Surah Al-Ahzab (33): 21]
Salah satu daripada banyak contoh sunnah Nabi. |
Memetik kata Dr Rozaimi Ramle:
"Cinta kepada Nabi tidak cukup sekadar cinta. Ia juga memerlukan aspek mengikut Nabi dalam kehidupan. Andai cinta sahaja, Abu Talib juga cinta kepada Nabi. Namun sayangnya, beliau tidak mengikuti Nabi, walaupun statusnya keluarga Nabi.
Andai ikut sahaja, juga tidak mencukupi tanpa cinta. Begitulah kaum munafik, ikut solat di belakang Nabi tetapi tidak mencintai Nabi.
Kedua-duanya diperlukan. CINTA dan IKUT."
Hadith-hadith riwayat Bukhari, Muslim & Tirmidzi menyatakan, di akhirat nanti kita akan bersama orang yang kita cintai :) |
Ilmu umpama hujan. Penuntut ilmu umpama tanah.
[Tulisan asal oleh Al-Kahfi Services]
Abu Musa r.a. meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda:
“Perumpamaan bagi perkara yang Allah menghantar aku dengannya; iaitu hidayah dan ilmu, adalah seperti hujan lebat yang jatuh ke bumi.
Bumi itu ada yang subur, menyerap air, lalu ia menumbuhkan rerumput mahupun tumbuhan yang pelbagai.
Ada pula yang keras tidak menyerap air sehingga bertakungnya air, maka dengan hal itu, Allah mengurniakan manfaat kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam.
Ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain, iaitu di atas tanah yang tidak menakungkann air dan tidak pula menumbuhkan rumput.
Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama dan memanfaatkan apa yang Allah utuskan bersamaku, dipelajarinya dan diajarkannya.
Begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu mengangkat kepala (untuk berfikir) dan tidak jua mahu menerima petunjuk Allah, yang aku diutus untuk menyampaikannya (dia umpama tanah yang tidak subur dan tidak jua menakungkan air).” [Sahih al-Bukhari, Kitab Al-Ilm, hadith no: 79]
Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini dalam bab "Kelebihan Orang Yang Berilmu dan Mengajarkan Ilmu."
Dalam Kitab Fathul Bari dinukilkan kalam Imam al-Qurthubi dan selain beliau, bahawa daripada hadis ini terdapat 3 kategori manusia:
1) Orang yang berilmu, beramal dengan ilmu, dan mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Ini seperti tanah yang subur yang bila ditimpa hujan ia menyerap air dan menumbuhkan tumbuhan.
2) Orang yang berilmu, kurang dalam amalan, atau kurang memahami ilmu yang dia dapati, akan tetapi dia tetap menyampaikan ilmu tersebut. Ini seperti tanah yang keras. Ia tidak dapat menyerap air, akan tetapi air yang bertakung itu memberi manfaat kepada makhluk lain.
3) Orang yang berilmu, tetapi tidak berusaha memahami atau menghafaznya, tidak juga beramal dengannya, dan tidak juga berkongsi ilmu itu. Ia seperti tanah yang tidak subur untuk menumbuhkan tumbuhan, dan tidak juga dapat menakung air. Ilmu itu tidak bermanfaat untuk dirinya dan orang lain.
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata:
"Sebagaimana hujan yang turun akan menghidupkan tanah yang mati, begitu jugalah ilmu agama akan menghidupkan hati yang telah mati."
Lalu siapakah diri kita? Tanah yang menyerap air, menakung air, atau bukan kedua-duanya?
No comments:
Post a Comment