Wednesday, 2 April 2014

24 hours...tick tock tick tock

Salah satu pesanan As-Syahid Imam Hasan al-Banna:

Kewajiban itu lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah pelaksanaannya.

Ini menunjukkan bahawa pengurusan masa yang baik adalah sangat penting. 24 jam dalam sehari sepatutnya disibukkan dengan perkara-perkara yang bermanfaat kerana jika tidak, kita akan disibukkan oleh perkara yang buruk. Rasulullah pernah bersabda;
  
“Termasuk kesempurnaan Islam seseorang ialah apabila ia meninggalkan apa-apa yang tidak memberikan kemanfaatan kepadanya.” HR Tarmizi

Untuk memastikan masa tidak disia-siakan, kita hendaklah tahu dan sedar akan matlamat hidup kita. Jelas disebutkan di dalam Al-Quran,

Allah berfirman; "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku." Surah Ad-Dzariyat:56

Beribadah di sini bukanlah terhad kepada ibadah-ibadah khusus seperti solat dan puasa sahaja, malahan setiap perkara yang kita lakukan adalah ibadah, termasuklah  dengan syarat tidak melanggar syariat Islam dan diniatkan semata-mata kerana Allah. Contohnya seseorang yang bersukan kerana Allah, ia juga termasuk dalam ibadah.

*******

Pepatah Arab ada mengatakan:

"Masa itu umpama pedang. Sekiranya kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita."

Antara strategi mengurus masa dengan baik termasuklah membuat jadual atau perancangan awal, mengenalpasti prioriti, dan memperuntukkan masa yang sesuai bagi setiap aktiviti/tugasan. Kita boleh membuat 'to-do list' dan tampal di tempat yang mudah dilihat ataupun mengkategorikan tugasan seperti berikut:



Tapi perancangan sahaja tanpa tindakan tidak akan membuahkan hasil. Disiplin sangatlah diperlukan supaya tugasan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.



Namun sekiranya tugasan tidak dapat dibuat mengikut perancangan, jangan mudah putus asa tapi muhasabah semula. Mungkin masa yang diperuntukkan tidak sesuai, atau mungkin sahaja kita sendiri yang suka bertangguh, atau mungkin juga cara pelaksanaan yang kurang sesuai.

*******
Sebagai seorang Muslim, kita sering diingatkan tentang keberkatan, termasuklah keberkatan masa. Di dalam al-Quran juga banyak disebutkan mengenai barakah. Antaranya,
“Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi”. Surah al-A’raf:96

Masa yang berkat itu adalah apabila ia sedikit tetapi Allah mencukupkannya. Satu jam Si A tidak mustahil lebih panjang daripada satu jam Si B yang mana Si A mampu menyiapkan 2-3 tugasan, sedangkan Si B hanya sempat menyiapkan satu tugasan.

Konklusinya, masa adalah amanah yang perlu dijaga kerana ke mana kita habiskan masa muda kita akan dipertanggungjawabkan kelak.

"A thief who comes into your house will rob your valuables. A thief who comes into your life will rob your time."