Friday, 8 May 2015

Permuda Yang Berjiwa Muda



"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku."
-Profesor Dr. Yusuf Al-Qardhawi-

Keberadaan pemuda dan sumbangannya dalam satu-satu masyarakat itu mempunyai signifikasi dan impak yang besar terhadap hala tuju bagi sesebuah masyarakat, juga sebuah negara. Jika kita selak semula lembaran-lembaran sejarah, sedari awal, zaman permulaan kedatangan semula Islam dengan kerasulan Nabi Muhammad saw, hinggalah ke era moden ini, nescaya kita dapat lihat impak yang dapat diberikan oleh para pemuda.

Sahabat-sahabat Nabi saw yang rapat..
Umar r.a, Ali r.a, Abdullah ibn Mas’ud, Mus’ab bin Umair..
Ditangan merekalah Islam itu kembali mekar dan terus berkembang.

Ashabul kahfi..
Mereka juga pemuda, seperti kita..

Sultan Muhammad al-Fateh..
Penakluk kota Konstantinople (Istanbul)..
Selepas beberapa siri usaha menawannya sejak ratusan tahun..

            Sehinggalah di zaman pertembungan antara Kaum Tua* dan Kaum Muda* di Tanah Melayu (nama terdahulu sebelum digantikan dengan Malaysia), sekitar kurun ke-18 dan 19 yang memberi impak yang besar dalam usaha mentajdid sudut pandang terhadap agama Islam di rantau asia tenggara, termasuklah Negara kita. 

(Soekarno; Presiden Indonesia pertama)

             Zaman berganti zaman. Daulah (kerajaan) Islamiyyah yang silih berganti. Islam tidak akan tertegak, jika tiada para pemuda yang sedia mendokong dan menyerahkan diri mereka sebagai tali penyambung kepada usaha menegak dan menyebarkan Deen ini.

“Hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup. Kerja sekadar bekerja, kera di hutan pun bekerja”
(HAMKA)

Ikhwah fillah,

            Jika pensel itupun mempunyai tujuan penciptaannya..Jika keldai itupun mempunyai tujuan penciptaannya.. Apatah lagi kita, pemuda yang bersyahadah, yang bersaksi bahawa Tuhan itu satu, dan tidak selayaknya disekutukan dengan sesuatu yang lainpun?? Yang menyatakan dan mengulang-ulangi kesaksiannya bahawa Nabi Muhammad itu adalah hamba dan utusan Allah yang haq. Adakah kita diciptakan, hanya sekadar bagi mengalami proses pengembangan dan pembiakan biologi..Menjadi tua, lalu mati?? Jika itu matlamat kita semata-cuma,  sungguh, tidak lain tidak bukan, kita telahpun tua sebelum umurnya.


          
  Juga, apa bezanya kita dengan babi, yang hidupnya hanya sekadar untuk dirinya. Makan, minum lalu membiak. Menanti masa untuk tua, sebelum mati bertemu dengan Tuhan, dengan keyakinan bahawa syahadah yang dituturkan oleh bibir kita akan menjadi jaminan tempat kita disyurga. Apakah kita yakin bahawa mati kita adalah dengan syahadah?? Apakah kita yakin bahawa kita tidak mempunyai tempat di dalam neraka?? (Moga Allah jauhkan). Kerna jaminan syahadah yang sah dihujung kalam hayat kita adalah syurga. Tetapi kita tidak tahu samada syahadah di lidah itu sudah cukup untuk menyelamatkan kita daripada api neraka atau tidak..

“Sesiapa yang akhir ucapannya ialah La ilaha illaLlah maka ia dapat masuk Syurga.”
(Hadith)

Ikhwah fillah,
Allah swt berfirman;

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..”
(Ali-Imran 2;110)

            Dalam bukunya yang berjudul Sehingga Para Pemuda Mengerti, Dr Abdullah Nasih Ulwan telah menetapkan beberapa sifat asas yang perlu ada pada diri seorang pemuda Islami dengan sebenar-benarnya.

1) Keimanan teguh yang tidak bergoncang dan tidak pula rapuh
2) Keikhlasan yang benar, tidak mengenal kepura-puraan mahupun menunjuk-nunjuk
3) Keazaman yang teguh, tidak mengenal takut mahupun gentar
4) Amalan (gerak-kerja) yang berterusan, tidak mengenal erti lemah mahupun lesu
5) Pengorbanan yang tinggi, yang hanya memilih sama ada kemenangan atau mati syahid

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”

(al-Baqarah 2;214)

            Menurut beliau, kelima-lima sifat ini merupakan ciri-ciri pemuda yang mengotai janji mereka terhadap Allah swt, ia adalah sifat istimewa para pemuda, yang tidak pernah takut pada jalan Allah akan celaan orang yang mencela..

Kerana asas keimanan adalah hati yang tajam..
Asas keihkhlasan jiwa yang suci..
Asas keazaman ialah perasaan yang kuat..
Asas amalan merupakan kehendak yang muda..
Asas pengorbanan pula adalah akidah yang teguh..
Segala sifat ini tidak pernah terkumpul dengan lebih kuat dan banyak,
sebagaimana terkumpulnya ia di dalam diri seorang pemuda..
Dan ianya tidak terdapat kecuali di dalam jiwa seorang pemuda Islam..

Pesan Syed Qutb dalam wasiatnya sebelum dijatuhkan hukuman gantung;




Wahai pemuda,
Masanya sudah tiba..
Bangkitlah dari mimpi lena..
Sekarang adalah masanya untuk kita bekerja..

Lihatlah sekelilingmu..
Bahkan sekarang, lihatlah kedalam dirimu..
Adakah dengan sifat ini, dengan Tuhan kau kan ketemu??



Nota kaki;
*Orang yang dilabel Kaum Muda pada umumnya hendak kembali kepada hulu agama iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w., sedang Kaum Tua hendak bertahan kepada taqlid kepada para ulama’ yang datang di belakang.


No comments:

Post a Comment