Monday, 15 April 2013

Bangunlah Dari Tidur !


Si A sedang tidur nyenyak di sebuah rumah banglonya. Tiba-tiba kebakaran telah berlaku kerana kebocoran gas. Rakan serumah, si B menyedari akan hal itu dan segera mengejutkan si A untuk keluar dari rumah itu. Namun, si A tidak mengendahkannya kerana masih 'mamai' dalam lenanya.

Si B pula menyedari akan bahaya yang akan menimpa rakan serumahnya, dia berasa bertanggungjawab menyedarkan rakannya supaya tidak terperangkap. Si A bukan saja tidak mengendahkan apa yang diperkatakan oleh si B, bahkan memarahi si B kerana mengganggunya untuk tidur!

Begitulah umpamanya. Orang yang sedang melakukan maksiat tidak sedar bahawa bahaya akan menimpa dirinya. Seperti si A tadi. Apabila datang peringatan yang dibawa oleh si B, dia masih buat tak tahu dan akhirnya memarahi pula. Begitulah sikap orang-orang kafir dan munafik pada zaman Rasulullah SAW dahulu:

".....tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)? Mereka menjawab: Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! Dan mereka berkata: Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli Neraka."
(Surah Al-Mulk, ayat 8-10)

Daripada analogi di atas, kita haruslah mencontohi si B yang tidak pernah berputus asa berdakwah dengan mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. 
Tahukah anda, apakah tujuan kita dicipta??

1. Beribadat kepada Allah SWT (Al-Zariyat : 56)
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku".

2. Sebagai khalifah di muka bumi (Al-Baqarah : 30)
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi". Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?". Allah berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." 

3. Berdakwah ataupun amar ma'ruf nahi mungkar   
(menyuruh berbuat kebaikan, mencegah kemungkaran)
"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik".  (Al-Imran : 110)

Ya, berdakwah adalah salah satu tujuan manusia diciptakan. Semua muslim harus melakukan amar makruf nahi mungkar sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran. Tapi, pernah dengar tak ayat2 sebegini : 
" Eh, tak nakla, aku ni bukan lepasan sekolah agama. Kopiah pun tak pakai."
"Aku tak sedia lagi lah, aku bukan baik sangat pun."
"Aku bukannya ustaz. Suruhla ustaz2 tu buat."
Sebenarnya dakwah ini bukan untuk lepasan sekolah agama, ustaz dan ustazah sahaja tetapi untuk semua umat Islam. Anda Muslim! Anda punyai Islam! Apakah itu tidak cukup sebagai motivasi untuk anda share Islam dengan orang ramai (secara berhikmah)? Jadi, marilah kita sama-sama menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tapi bagaimana??

Rasulullah s.a.w. :
"Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangan. Jika tidak tidak mampu, maka cegahlah ia dengan lisan. Jika itu juga di luar kemampuannya, maka cegahlah dengan hati Sesungguhnya (mencegah dengan hati) selemah-lemah iman."                 
(hadith riwayat Muslim)
1. Mencegah dengan tangan 
Mengubah dengan kuasa yang ada pada seseorang mengikut kemampuannya dan bidang 
kuasa masing-masing

2. Mencegah dengan lisan
Mencegah dengan lidah bermaksud memberi nasihat dan bimbingan yang baik

3. Mencegah dengan hati (selemah-lemah iman)
Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dan menjauhkannya

p/s : Jom bergerak :)




 


Wednesday, 10 April 2013

# LH 1 : Dare to DREAM!

   
(photo by : Nur Atiqah Arshad)
   

"You got a dream, you gotta protect it. People can't do something themselves, they wanna tell you that you can't do it. You want something? Go get it. Period."


- Christopher Gardner (Will Smith) ; Pursuit of Happyness-

Khas buat sahabat-sahabat kami, pelajar perubatan Tahun 1 dan Tahun 3 yang bakal menghadapi peperiksaan tidak berapa lama lagi. Semoga diberikan kekuatan dan kemudahan atas segala urusan.

Bittaufiq wannajah fil imtihan!!
Wallahu musta'an.




Monday, 8 April 2013

Islam ; Mudah dan Mempermudahkan

Bismillah.

   Alhamdulillah, Allah izin, kita masih lagi berpeluang untuk menjalankan aktiviti seharian kita sebagai hamba, juga sebagai khalifah di bumi Allah swt ini. Semoga ruang dan peluang yang diberikan ini akan sama-sama membantu kita bagi mencapai redha Allah swt, insyaAllah.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,

Firman Allah swt;

"Pada hari ini, Aku sempurnakan agamamu untuk kamu dan Aku cukupkan nikmatKu kepadamu dan aku redha Islam menjadi agama bagimu"
(surah al-Maidah ; 3)

merupakan satu manifestasi betapa 'Deen' (agama) Islam ini merupakan agama yang lengkap dan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Daripada perkara-perkara yang dianggap kecil dan remeh seperti buang air, sehinggalah sebesar-besar perkara seperti ibadah, siyasah(politik) dan sebagainya.

 

   Hakikatnya, Islam tidak boleh dilihat terpisah-pisah antara satu sama lain. Hal ini kerana, tiap-tiap sesuatu perkara yang diciptakan Allah swt mempunyai signifikasi terhadap hidup seseorang Muslim, dan mempunyai kaitan dengan Deen ini.

   Sebagai agama yang lengkap dan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia; daripada tatacara berhubung dan meniaga, hinggalah kepada hubungan antara doktor dan pesakitnya, Islam telah memelihara dan menyelesaikan tiga maslahat (faedah) yang diperlukan oleh manusia secara seluruhnya.

Pertama : Perkara Daruriyyat

   Ia merupakan perkara-perkara asas dalam kehidupan. Dibawahnya, ia terbahagi kepada lima bahagian;

--> Agama
--> Nyawa
--> Aqal
--> Keturunan
--> Harta Benda

Kedua : Perkara Hajjiyat

   Ia merupakan perkara yang diperlukan manusia untuk menghilangkan kesusahan dan kesempitan hidup manusia. Ianya meliputi perkara-perkara samada dalam bidang ibadat, muamalat dan adat.

   Misalnya, dalam hal ibadah, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) tertentu kepada umatnya. Misalnya mengizinkan seseorang untuk berbuka puasa ketika sakit di bulan Ramadhan, keharusan dalam melaksanakan solat wajib secara Jama' dan/atau Qasar, dan sebagainya.

   Dalam konteks yang lain, Islam telah memberikan kebenaran untuk melaksanakan poligami dan penceraian ketika benar-benar perlu, dan dengan syarat-syarat yang tertentu bagi memenuhi tuntutan fitrah hambanya.

   Justeru, Islam telah menyelamatkan dan memudahkan perjalanan hidup manusia dengan memberikan jalan-jalan keluar dan solusi terhadap permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh manusia.
 
             

Ketiga : Perkara Tahsiniyat

   Ianya merupakan satu aspek penyempurnaan yang diperlukan bagi memperelok dan mencantikkan lagi kehidupan, serta untuk memelihara maruah dan akhlak manusia dalam semua aspek.

   Dalam bidang perniagaan, Islam mengharamkan sebarang bentuk penindasan dan kesmaran dalam peniagaan. Dalam ibadah, Islam menggalakkan umatnya untuk memakai wangi-wangian sebelum melaksanakan ibadah, dan mewajibkan untuk berwudhu' sebelum solat dan sentiasa memelihara aurat kehormatannya.

---------------------------------------------------------------------------------------------

   
 
   Justeru, Islam merupakan satu agama yang mencakupi seluruh kehidupan manusia. Deen ini berteraskan 6 prinsip, Rukun-rukun Iman, iaitu;

-Percaya kepada Tuhan
-Percaya kepada para malaikat
-Percaya kepada kitab-kitab
-Percaya kepada para Rasul
-Percaya kepada Hari Akhirat
-Percaya kepada Qadha' dan Qadar

Dan hal ini akan tercapai melalui 5 Rukun-rukun Islam, iaitu;

-Mengucapkan dua kalimah syahadah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Muhammad pesuruh Allah)
-Solat lima waktu, sehari semalam
-Mengeluarkan zakat (bagi yang berkemampuan)
-Melaksanakan puasa di bulan Ramadhan
-Melaksanakan ibadah haji, bagi yang berkemampuan

   

Wallahua'lam.

Friday, 5 April 2013

Taaruf & Taqwa

Assalamualaikum w.b.t. :)


Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah s.w.t, insya-Allah kali ini kita akan tadabbur & mengambil ibrah serba-sedikit daripada ayat ke-13 surah Al-Hujurat [49:13] yang bermaksud,
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu bertaaruf."
Seruan tersebut ditujukan kepada semua manusia, kerana Islam mengiktiraf kewujudan manusia yang berbilang kaum, berbilang agama, bahkan mempunyai pelbagai sifat. Tiada dua manusia diciptakan dalam keadaan yang sama, hatta identical twins sekalipun. Walaupun kita berketurunan daripada insan yang sama (Nabi Adam a.s.) namun hakikatnya perkembangan dan sifat genetik bahkan kelakuan manusia kini berbea-beza.

Bak kata pepatah, rambut sama hitam, qalbu lain-lain. Apatah lagi pesakit yang ada valvular heart disease hohoho...


Ok maafkan gurauan hambar tadi. Kita kembali serius -_-

1) Sahabat-sahabat sekalian,
Dek variety keturunan & sifat manusia itu, Allah mengarahkan kita untuk saling bertaaruf. Atau dalam bahasa melayunya, berkenalan. Nah, itulah nikmat genetic variety yang Allah kurniakan. Kerana perbezaan itu mewarnai dunia kita, lantas memudahkan lagi untuk kita saling mengenali.


Dan 'kenal' bagi seorang mukmin itu, bukanlah sekadar mengetahui nama seseorang. 'Kenal' bagi seorang mukmin itu, selayaknya dia juga memahami keluarganya, asalnya, hatta personaliti & sikapnya, kerana hal-hal itulah yang memainkan peranan besar dalam komunikasi masyarakat.

Kerana dalam perihal komunikasi, antara perkara yang menentukan sama ada proses give & take itu berjaya atau tidak ialah sejauh mana kedua-dua belah pihak memahami satu sama lain.
2) Seterusnya, kepentingan agar kita mengetahui asal-usul kejadian kita.

Ini adalah supaya kita faham bahawa perbezaan daripada segi bangsa semata-mata tidak memberikan kita apa-apa kelebihan yang abadi. Kerana itulah bagi manusia yang menghina dan memandang inferior terhadap bangsa lain, Allah mengingatkan bahawa martabat dan asal-usul kejadian kita adalah sama, dan tiada hak untuk kita menghina insan lain dek bangsanya.

Bahkan jika kita hayati, keluarga mana & bangsa apa yang kita dilahirkan ke dalamnya, bukanlah dalam bidang kuasa kita, namun ketentuan Allah semata-mata. Oleh itu apabila manusia menghina seseorang dek bangsanya, maka penghinaan itulah seolah-olah ditujukan kepada Allah s.w.t. Na'udzubillahi min dzalik!

3) Ehh nanti kejap, ayat tadi belum selesai lagi sebenarnya! Surah Al-Hujurat ayat ke-13 diteruskan lagi dengan firman-Nya yang bermaksud,
"Sesungguhnya yang paling mulia daripada kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti."
Sahabat-sahabat sekalian,
Setelah menekankan bahawa asal-usul manusia hakikatnya adalah sama, Allah mengingatkan bahawa seseorang manusia itu boleh mencapai kemuliaan yang melebihi manusia lain. Namun kemuliaan itu bukanlah terletak pada bangsa atau keturunannya, tetapi ketaqwaannya.

Kerana sifat taqwa itu adalah sesuatu yang perlu diusahakan oleh manusia. Inilah yang membezakan manusia; sama ada dia berusaha mengejar taqwa, ataupun dia membiarkan dirinya hanyut dalam nikmat dunia semata-mata.

Dan daripada ayat ini juga kita dapat memahami, bahawa sesepet mana pun mata si Ah Chong, segelap mana pun kulit si Govinji, taqwa di qalbu hanyalah Allah yang Maha Mengetahui. Lagipun, lupakah kita bahawa muazzin pertama ialah seorang bangsa Afrika yang sangat hitam kulitnya, dan telah dipastikan syurga untuknya?

"Sesungguhnya Allah tidak memerhatikan rupa dan harta kalian, tetapi Allah memerhatikan qalbu dan amalan kalian." (HR Muslim & Ibn Majah)
Jadi antara konklusi daripada 49:13 (Surah Al-Hujurat ayat 13) ialah betapa insan mulia itu ialah insan yang bertaaruf demi meningkatkan ketaqwaannya. Mereka itulah manusia yang mengejar taqwa dengan beramal soleh, beramar ma'ruf & bernahi munkar. Kerana mereka tahu, taqwa di qalbu itu tetap dalam ancaman bahaya sekiranya persekitarannya dalam keadaan yang rendah taqwanya. Atas sebab itu, mereka bukan sahaja mengejar taqwa, bahkan berjihad untuk menyebarkan taqwa!

Mereka bersahabat atas dasar taqwa, dan persahabatan sedemikianlah yang akan kekal selama-lamanya :)
"Teman-teman akrab pada hari itu (kiamat) sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." (Surah Az-Zukhruf [43]: 67) 

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika peristiwa penaklukan kota Makkah:
"Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menghilangkan daripada kalian kebanggaan jahiliyyah dan sikap saling membanggakan keturunan. Maka manusia itu hanya ada dua jenis: 1) orang yang berbakti, bertaqwa lagi mulia di sisi Allah, dan 2) orang yang derhaka, celaka lagi hina di sisi Allah." (HR Ahmad) 


Nah, pilihan kita cuma ada dua. What say you?


Saturday, 9 March 2013

Hikmah

Sahabat sekalian,
Manusia biasa sekadar mencari rezeki yang 'banyak', sedangkan manusia beriman mencari lebih daripada itu.
Ia mencari yang more than meets the eye.
Ia mencari 'hikmah' dan 'barokah'.


Kerana imannya kepada Allah, qada' dan qadar, serta hari akhirat, manusia beriman sedar bahawa hakikat hidup di dunia hanya sementara. Dan dalam kehidupan yang sementara itu, ia sedar akan datangnya ujian-ujian daripada Allah demi menguji keimanannya.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman,' sedangkan mereka tidak diuji?" (Al-Ankabut [29]: 2)
Dan ia yakin, bahawa dengan ia sabar, redha, bahkan bersyukur dengan ujian yang menimpa, maka bertambahlah imannya, hatta semakin rapatlah ia kepada Tuhannya.

Ia serba tahu, bahawa yang paling utama dalam kehidupan ialah redha daripada Tuhannya. Dan dengan redha daripada Tuhannya, tiada apa yang mampu meng-'down'-kan ia.


Maka usah lama bergelumang dalam kesedihan wahai sahabat, kerana jika benar kita beriman, sewajarnya kita mampu melihat bahagia meskipun di dalam derita.
"Dan janganlah kamu berasa lemah, dan janganlah pula bersedih hati, kerana kamulah yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu beriman." (Ali Imran [3]: 139) 
[Klik gambar untuk view lebih jelas]
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah [2]: 216)
Kerana jika benar kita beriman, kita wajar melihat hikmah.
Dan dengan hikmah itu, kita mampu mengejar barokah.
Insya-Allah :)

Friday, 15 February 2013

Usah Gusar, Teruskan Melangkah!

Bismillah. 
Salam alaik.

Pejam celik pejam celik, malam berganti siang, siang berganti malam, begitu pantas masa berlalu. Buat sahabat-sahabat Medden 2nd year, semakin hampir kita menuju satu lagi ujian dunia, iaitu Selanjar 1 (dengan izin-Nya). Maka, manfaatkanlah masa yang ada sebaiknya kerana Allah telah bersumpah dengan masa, yang bermaksud,

" Demi Masa! Sesungguhnya manusia kerugian. Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh. "
(Surah Al-Asr : 1-3)



Tidak dinafikan, dalam kesuntukan masa yang tersisa, pasti ada masanya kita berasa lemah dan ingin sahaja berputus asa. Tetapi tidak, sahabatku. Janganlah engkau berbuat sedemikian kerana Allah berfirman, maksudnya,

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir. " 
(Surah Yusuf : 87)

  
 Andai terasa satu kesempitan dan kepayahan bakal menimpa, usah gusar! Allah telah menyelamatkan dirimu dari bencana pada hari kelmarin. Sudah pasti, Allah jugalah yg akan menyelamatkanmu dari bencana pada hari esok.

“ Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
(Surah al-Insyirah: 5-6)

Andai terasa kesempitan terus menyempitkan ruang fikiran dan jiwa, usah gusar! Dunia ini bukanlah apa-apa melainkan sebuah perjalanan menuju ke akhirat semata-mata. Hidup ini bagaikan mimpi dan kita akan tersedar pada Hari Kebangkitan kelak.

Segala kepayahan itu akan hilang beransur dengaan masa. Apa yang penting, lakukanlah yang terbaik dan mohonlah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah yang Maha Esa. Tunduklah kepada-Nya dgn serendah-rendahnya dan merayulah kepadaNya dengan tangisan setulusnya.


"Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kepadaku, nescaya akan ku perkenankan doamu..." 
(Surah Al-Ghafir : 60) 
 
Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yg berharap kepadaNya semata-mata melalui kepayahan dan keperitan dgn sia-sia tanpa pertolonganNya walau secebis. 

"...Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."
(Surah Al-Baqarah : 214)
Serahkanlah urusan itu kepadaNya setelah berusaha dengan banyaknya. Percayalah, dirimu tidak akan rugi sedikitpun malah semakin kukuh kepercayaanmu itu kepada-Nya setelah datangnya pertolongan di saat kesulitan. Senyumlah dan usahlah gusar! 
Dan yang PALING PENTING sekali, berusaha dan berkerjalah dengan niat kerana ALLAH. Supaya tak mudah lelah dan berbaloi-baloi! :D
 
 
 

Ingatlah dan yakinlah bahawa sesungguhnya janji Allah itu pasti.
Bittawfiq wannajah fil imtihan! 
Wallahua'lam. 


**credits : http://www.aishaardini.com/2011/12/artikel-motivasi-usirkanlah-kegusaran.html, 
http://mr-iq.blogspot.com/2012/07/komik-susah-susah.html


Thursday, 7 February 2013

Usaha eskelator kejayaan??

Bismillah.
   

Alhamdulillah, puji-pujian dan puja-pujaan hanya selayaknya bagi Allah swt, Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam.
Firman Allah swt;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mana mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”
[13:11]

Ikhwah wa Akhowat fillah,
 Di antara ayat-ayat chentaNya, Allah swt telah menerangkan bertapa manusia itu sebenarnya akan mendapat sesuai dengan apa yang diusahakannya. Sekiranya dia mengusahakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan betul caranya, maka hasilnya adalah sesuai dengan apa yang diusahakannya. Dan begitu juga dengan sebaliknya.



  Tetapi, ramai yang tersalah anggap konsep sebenar usaha dalam Islam. Ini mungkin berkait-rapat dengan bagaimana mereka mendefinisikan konsep kejayaan itu sendiri. Ada orang meletakkan definisi kejayaan itu apabila memiliki kekayaan yang melimpah-ruah. Ada yang mendefinisikan dirinya telah berjaya apabila mendapat apa yang diingininya. Ada pula yang mendefinisikan kejayaan apabila dapat melakukan suatu perkara yang menyenangkan hati dan nafsunya. Hakikatnya, itu bukanlah suatu kejayaan. Bahkan ianya adalah suatu ujian kehidupan. Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita… Allah baru menguji kita. Begitu juga apabila Allah berikan kemiskinan buat kita… itu bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita tetapi sebaliknya Allah sedang menguji kita. Bukan itu sahaja, apabila Allah kurniakan kuasa, menarik kuasa, rupa yang cantik, rupa yang buruk, ternama atau biasa-biasa sahaja, semuanya ujian untuk kita.

    Ujian samada kita mengingatiNya atau tidak, mengingatiNya atau tidak dalam apa-apa kondisi yang telah diaturkannya. Justeru, yang menentukan suatu kejayaan  bukan situasi tetapi respons hati mereka ketika menghadapi  situasi itu.

   Tetapi kalau mereka miskin kerana malas, tidak gigih mencari ilmu, menambah kemahiran  dan ilmu... lalu mereka sabar, apakah itu juga boleh dikatakan berjaya??
Sebenarnya, orang malas bukan orang yang ingat Allah. Sabar itu bukan pasif dan tidak produktif. Sabar itu aktif dan produktif.  Orang yang ingat Allah, akan ingat akhirat. Orang yang ingat akhirat akan sentiasa sibuk di dunia”
    Islam telah memberikan suatu definisi yang cukup jelas tentang konsep kejayaan. 

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. [3:185]

 Nah, suatu definisi yang jelas bahawa kejayaan seseorang itu diukur melalui keadaannya ketika akhirat. Bagaimana kondisinya, samada dia tergolong diantara orang-orang yang muqarrabun (dekat) dan golongan maimanah (kanan) yang dijanjikan oleh Allah swt seribu macam kesenangan di sorgaNya, atau (nau'zubillah) kita akan tergolong dalam golongan mashamah (kiri) yang telah disediakan baginya seribu macam azab yang pedih seperti mana yang tergambar dalam al-Quran??!!
(ruj: Surah al-Waqiah)



                                           

  Namun begitu, walaupun Islam telah meletakkan definisi kejayaan itu sebagai suatu yang bersifat ukhrawi, tidak bermakna Islam menyuruh kita untuk bersifat sambil lewa terhadap urusan dunia kita kerana kejayaan kita di dunia merupakan suatu refleksi terhadap kejayaan kita di akhirat kelak. Bukankah sifat orang mukmin itu berjaya??
"Sesungguhnya, telah berjaya orang-orang yang beriman" [23:1]
Ikhwah wa Akhowat fillah,
   Telah berkata Imam Syafi'e ; 'Dunia itu, adalah tanaman untuk negeri Akhirat'. Maksudnya, jika kita hendak menikmati buah yang manis di akhirat, mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur. Maksudnya, di dunia lagi hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat nanti kita akan cemerlang. Ya, kerana dia sedar dia hendak menuai di akhirat, jadi sibuklah dia menanam di dunia. Dunia ini jadi kebunnya… Lihat orang berkebun, dia akan  sibuk menebas, menggempur, menyemai benih, memberi baja, mengairi, menjaga tanamannya dari serangga dan macam-macam lagi. Usahanya tentu sekali akan menghasilkan pohon-pohon yang baik dan berkualiti, yang lanjutnya tentu sekali akan menghasilkan buah yang manis dan berkualiti. Begitulah orang yang hendak menuai di akhirat, akan sibuk di dunia.


Jadi, apabila kita telah memahami konsep kejayaan yang sebenar dalam Islam, seharusnya akan memudahkan kita untuk memahami konsep sebenar usaha mengikut Islam.

1) Orang mukmin yang berjaya itu adalah mereka yang menjaga hubungan 'vertical'nya (hubungan dengan Allah) dan hubungan 'horizontal'nya (hubungan sesama manusia). Dan sifat ini hanya terdapat dalam diri seorang mukmin.

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]

2) .Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.



"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]

3) Antara lain sifat orang-orang mukmin adalah bersungguh-sungguh dan komited dalam melakukan suatu perkara.


Sesungguhnya Allah suka kepada seseorang kamu yang apabila melakukan sesuatu kerja maka dilakukannya dengan bersungguh-sungguh (itqan). (al-Hadith)
 'Kalau dengar langit hendak runtuh (kiamat) tetapi di tangan masih ada benih (tanaman), maka tanamlah benih itu' (a-Hadith)

4) Mukmin itu, sifatnya juga berstratergi.


"Perkara yang haq(benar) yang tidak mempunyai perancangan, akan ditumpaskan oleh perkara batil (palsu) yang terancang." 
(Saidina Ali r.a.)

5)Mempunyai keghairahan untuk memberi.

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain." (HR al-Baihaqi)

6) Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]

7) Jujur, amanah

" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]

8) .Tepati waktu

"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]
Al-hasil, mereka-mereka yang bersifat dengan sifat-sifat orang mukmin itu, telah dijanjikan oleh Allah swt bahawa mereka akan memperoleh syurga Firdaus seperti mana yang tercatat dalam surah al-Mukminun:10-11.

Ikhwah wa Akhowat fillah,
   Tuntasnya, saya ingin mengajak diri saya dan sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita me'reset' semula makna kejayaan yang sebenarnya berlandaskan apa yang telah disyariatkan oleh Allah swt. Juga sama-sama kita merefleksi, adakah kita telah mencorakkan warna-warna kehidupan kita sesuai dengan apa yang telah disarankan oleh Allah dan RasulNya.

"There's never too old to learn..There's never too late to turn"
(Johann Guternberg)




SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SELANJAR I BUAT SAHABAT MEDDEN 2!!
BUAT SAHABAT DI MEDDEN I, SEMOGA TERUS KONSISTEN DAN MEMPEROLEH KEPUTUSAN YANG CEMERLANG!!

Biidznillah!! :)